top of page
Search

HAK ANDA SEKIRANYA DITAHAN OLEH PIHAK POLIS (BAHAGIAN I)

Writer's picture: Messrs Irwan & AthiraMessrs Irwan & Athira

Updated: Aug 9, 2022

Demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam, Polis Diraja Malaysia [“PDRM”] telah diamanahkan kuasa untuk menahan dan menangkap mana-mana individu atau kumpulan yang disyaki terlibat dengan jenayah. Hampir setiap hari, tangkapan berlaku di mana-mana.


Justeru, apakah hak kita sebenarnya sekiranya ditahan oleh pihak polis? Adakah kita perlu terus menurut segalanya apabila ditahan oleh individu yang mengaku diri sebagai polis?


Pertama, anda harus membuat PENGESAHAN. Tangkapan biasanya boleh dibuat di dalam dua keadaan: sama ada polis tersebut (1) berpakaian seragam mahupun (2) berpakaian biasa. Jika polis tersebut berpakaian seragam, anda harus mengambil perhatian pada nama serta nombor badan anggota tersebut. Hal ni boleh dibuat dengan membuat catatan pada kertas atau telefon bimbit untuk rujukan di masa depan, sekiranya perlu. Sekiranya keadaan (2) yang berlaku, dengan sopan, anda harus tanya, “Tuan, boleh tunjuk kad kuasa tak?” Sekiranya kad kuasa tersebut berwarna biru atau kuning, maka polis berpakaian biasa tersebut adalah sah. Sekiranya berwarna merah, polis tersebut telah digantung tugas dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat sebarang penahanan. Pada saat ini, anda berhak untuk beredar.


Kedua, anda harus tanya, “Adakah saya ditahan?” Sekiranya jawapan negatif, maka anda boleh terus beredar tanpa perlu menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan oleh pihak polis. Anda juga sebenarnya sedang ditahan apabila pihak polis melarang anda meninggalkan tempat tersebut atau ingin membawa anda ke balai polis atau apabila anda digari. Sehingga ke tahap ini, anda hanya perlu jelaskan tiga perkara sahaja kepada pihak polis iaitu nama penuh, kad pengenalan dan alamat.


Ketiga, anda harus tanya, “kenapa saya ditahan?” Ini merupakan suatu pertanyaan yang mustahak memandangkan salah satu punca kuasa pihak polis untuk menahan adalah apabila kita disyaki melakukan kesalahan jenayah. Tindakan ini sejajar dengan hak kita di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan:-

“5(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.”

Keempat, anda mempunyai hak untuk menghubungi dua pihak apabila ditangkap: iaitu (1) ahli keluarga dan (2) peguam. Di peringkat ini juga, anda atau ahli keluarga boleh melantik peguam:-

  • untuk mendapatkan nasihat guaman secepat mungkin;

  • untuk memastikan hak asasi anda terpelihara semasa dalam tahanan;

  • untuk memastikan tangkapan, reman dan soal siasat berjalan mengikut lunas undang-undang yang ada;

  • sebagai penasihat anda semasa keterangan atau rakaman percakapan di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah diambil; dan

  • sebagai pengantara anda dengan pegawai penyiasat berkenaan hala tuju siasatan kes.

 

***Rencana ini merupakan suatu perkongsian untuk pengetahuan dan BUKAN bertujuan sebagai khidmat nasihat guaman. Sila dapatkan khidmat nasihat guaman daripada mana-mana peguam yang bertauliah dan berpengalaman, sekiranya perlu.

1,451 views0 comments

Recent Posts

See All

FITNAH & VIRAL DI MEDIA SOSIAL (BAHAGIAN II)

Melalui rencana bertajuk “FITNAH & VIRAL DI MEDIA SOSIAL (BAHAGIAN I)” yang lepas, kami telah berkongsi mengenai apa itu “fitnah” dan...

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

©2020 by Messrs Irwan & Athira

bottom of page