Sekiranya anda ditangkap oleh pihak polis, proses reman akan berjalan selama 24 jam dari waktu anda ditangkap. Jika pihak polis tidak dapat lengkapkan siasatan kes dalam tempoh tersebut, pihak polis wajib membawa anda ke hadapan Majistret bagi proses permohonan reman berdasarkan peruntukan Seksyen 117 Akta Kanun Tatacara Jenayah.
Reman; suatu tempoh lanjut untuk pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih mendalam jika tempoh 24 jam pertama tersebut tidak mencukupi. Sepanjang tempoh reman, anda sebagai Orang Yang Disyaki [“OYDS”] akan berada di bawah tahanan polis sehinggalah tempoh reman anda selesai.
Proses untuk permohonan reman BERBEZA mengikut jenis jenayah yang disiasat. Sebagai contoh, kes jenayah yang membawa hukuman penjara lebih empat belas (14) tahun seperti merogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (maksimum penjara 20 tahun), tempoh permohonan reman yang dibenarkan adalah seperti di bawah:-
Permohonan pertama: Tujuh (7) hari
Permohonan kedua: Tujuh (7) hari
Secara keseluruhannya, tempoh reman bagi kes-kes jenayah yang membawa hukuman lebih 14 tahun penjara adalah sebanyak empat belas (14) hari.
Manakala, bagi permohonan reman yang membawa hukuman penjara kurang empat belas (14) tahun seperti mencuri yang diperuntukkan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (maksimum penjara tujuh tahun), tempoh sambung reman yang dibenarkan adalah seperti di bawah:-
Permohonan pertama: Empat (4) hari
Permohonan kedua: Tiga (3) hari
Secara keseluruhannya, tempoh sambung reman bagi siasatan kes jenayah yang membawa hukuman penjara kurang 14 tahun adalah sebanyak tujuh (7) hari.
Tempoh reman ditentukan oleh Majistret.
Tambahan lagi, semasa anda ditahan reman, anda mempunyai HAK untuk:-
Berjumpa dengan ahli keluarga;
Mendapatkan rawatan perubatan sekiranya perlu; dan
Membuat aduan sekiranya berlaku elemen kekasaran fizikal dan/atau mental dan sebagainya.
Selanjutnya, sebaik sahaja anda ditahan oleh pihak polis, anda mempunyai hak untuk mendapatkan peguam bagi mewakili anda berdasarkan peruntukan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini dapat dilakukan dengan cara menghubungi ahli keluarga anda.
***Rencana ini merupakan suatu perkongsian untuk pengetahuan dan BUKAN bertujuan sebagai khidmat nasihat guaman. Sila dapatkan khidmat nasihat guaman daripada mana-mana peguam yang bertauliah dan berpengalaman, sekiranya perlu.
Comments