Search
  • Messrs Irwan & Athira

FITNAH & VIRAL DI MEDIA SOSIAL (BAHAGIAN I)

Zaman beralih musim berubah, kini dunia amat bergantung kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam zaman segala-galanya di hujung jari, pengguna harus bijak dalam menapis segala informasi dan kenyataan yang dicerna dari alam siber. Pengguna perlu semak kesahihan fakta terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk kongsikan di atas talian.


Terdapat pihak yang dengan sengaja “memviralkan” dan menyiarkan dan/atau membuat kenyataan palsu dan fitnah berkenaan individu lain dengan niat jahat untuk menjatuhkan nama baik atau memalukan individu tersebut.


Apa itu fitnah? Tiada sebarang takrifan perkataan “FITNAH” di bawah Akta Fitnah 1957. Namun, secara amnya, fitnah bermaksud suatu kenyataan palsu atau tidak benar berkenaan sesuatu individu, yang mana boleh dan/atau telah menjatuhkan reputasi individu tersebut dalam kalangan masyarakat.


Fitnah boleh dilakukan secara lisan atau bertulis dan/atau kekal. Namun, sekiranya ianya telah disiarkan di media sosial, secara amnya ianya adalah fitnah dalam bentuk bertulis/kekal (‘libel’).


Sekiranya anda menjadi MANGSA FITNAH, anda mungkin tertanya-tanya apakah tindakan undang-undang yang boleh anda ambil?


1. SIMPAN BUKTI


Anda perlu menyimpan kesemua bukti pernyataan fitnah tersebut dengan menangkap layar kesemua hantaran (‘posting’) termasuk komen-komen yang ditinggalkan, jumlah ‘likes’ dan ‘share’ serta profil media sosial pelaku tersebut. Hal ini untuk mengelakkan daripada pelaku menghapuskan bukti-bukti perbuatannya.


2. LAPORKAN KEPADA PIHAK POLIS


Ramai yang tidak mengetahui bahawa membuat kenyataan fitnah merupakan suatu kesalahan jenayah yang mana sekiranya disabitkan atas kesalahan, Tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali : [Seksyen 500 Akta Kanun Keseksaan].


Justeru, mangsa fitnah juga boleh membuat laporan polis. Jika anda mempunyai maklumat dan/atau mengetahui identiti pelaku tersebut, anda boleh memasukkan butiran tersebut ke dalam laporan untuk memudahkan siasatan pihak polis.


3. AMBIL TINDAKAN SIVIL


Sekiranya pernyataan fitnah tersebut telah menyebabkan anda mengalami kerugian dan/atau dipandang hina dan/atau dibenci oleh masyarakat dan/atau telah mencalarkan reputasi baik anda, anda juga boleh mengambil tindakan sivil dengan menuntut ganti rugi.


Akhir kata, anda boleh melantik mana-mana peguam sivil yang bertauliah untuk memberi nasihat guaman yang berkaitan dan mewakili anda untuk mengambil tindakan sivil terhadap pelaku.


P/S: Sekiranya anda pula yang dituduh telah membuat pernyataan fitnah, apakah yang anda boleh dan/atau perlu lakukan? Kami akan kongsikan, di dalam rencana yang akan datang.


 

***Rencana ini merupakan suatu perkongsian untuk pengetahuan dan BUKAN bertujuan sebagai khidmat nasihat guaman. Sila dapatkan khidmat nasihat guaman daripada mana-mana peguam yang bertauliah dan berpengalaman, sekiranya perlu.



319 views0 comments

Recent Posts

See All

Demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam, Polis Diraja Malaysia [“PDRM”] telah diamanahkan kuasa untuk menahan dan menangkap mana-mana individu atau kumpulan yang disyaki terlibat dengan jen